IPOH: Penceramah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias tidak menolak kemungkinan pengumuman awal beliau sebagai calon Barisan Nasional (BN) mungkin menjadi antara punca larangan berceramah di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak memiliki tauliah mengajar dan menyampaikan ceramah dari Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Menurutnya, isu itu tidak pernah ditimbulkan sejak beliau menyampaikan ceramah di negeri itu bermula tahun 1995.

"Saya menghormati peraturan larangan oleh MAINPP itu, tak ada sebab saya membantah peraturan ini dan saya berharap masjid, surau mematuhi peraturan dibuat ini.

"Dah lama mengajar di sana sebelum saya dapat anak lagi tahun 1995, 1996 sampailah sekarang,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Darul Barakah, Manjoi, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon maaf kepada seluruh masyarakat Pulau Pinang kerana memberi ceramah tanpa tauliah selama hampir 27 tahun.

Tambahnya, beliau hanya mempunyai tauliah daripada Perak serta Wilayah Persekutuan dan tidak berhasrat untuk memohon tauliah di negeri lain kerana faktor usia yang menjangkau 50 tahun.

Bagaimanapun, Mohd Kazim berkata, beliau masih boleh menggunakan platform lain seperti berceramah secara dalam talian.

"Saya pun telah menubuhkan kumpulan nasyid dan kumpulan muzik saya sendiri. Jadi negeri-negeri yang melarang saya ini bolehlah jemput saya buat konsert sebab buat konsert tak perlu tauliah.

"Saya pun dah terlibat secara aktif dalam filem, mungkin saya akan menceburi bidang filem, filem saya akan keluar tak lama lagi. Berlakon filem pun tak perlu tauliah, jadi saya akan tumpu pada filem dan drama," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pendakwah yang turut dilarang berceramah di Pulau Pinang, Datuk Ahmad Husam Baderudin berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada MAINPP bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara tersebut.

Katanya, seramai 10 daripada 16 orang individu yang disenaraikan itu sedia untuk bertemu dengan pihak MAINPP dan menunggu tarikh ditetapkan.


"Saya menghormati keputusan itu dan berharap pertemuan nanti akan berlangsung secara mahabbah mendapatkan penjelasan demi kebaikan bersama.

"Rasa agak rugi bila penceramah ini tidak diberi kebenaran berceramah. Jika ada kesilapan, pihak kami mohon ditegur," ujarnya.

Pada 4 November lalu, MAINPP menamakan 16 individu yang dilarang untuk mengadakan ceramah, khutbah atau majlis-majlis ilmu di negeri ini berikutan tidak mempunyai tauliah mengajar yang dikeluarkannya.

Mereka adalah Datuk Kazim Elias, Shaharudin Ibrahim, Datuk Ahmad Husam Baderudin, Wan Hizam Abdullah Sabil, Yusni Mat Piah, Shahrir Long, Sobri Arshad, Aiman Subri, Ahmad Dusuki Abdul Rani, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Profesor Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle, Salman Ali, Maulana Fakhrurrazi, Mohd Rizal Azizan, Halim Hassan dan Dr Abdullah Yassin.